Faedah-faedah menyertai kegiatan kokurikulum

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum. Ada banyak faedah kegiatan kokurikulum.

Salah satu faedah kegiatan kokurikulum ialah aktiviti itu dapat memenuhkan masa lapang. Mereka tiada masa untuk terlibat dengan gejala sosial. Mereka sentiasa sibuk dengan aktiviti di sekolah. Sebagai contoh, jika mereka aktif dalam bidang sukan, mereka akan berlatih setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.

Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan. Sebagai contoh, jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Ahli jawatankuasa juga belajar menguruskan aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Sebagai contoh, apabila hendak menjalani latihan sukan atau bahas, kita mesti menepati masa. Jika terlewat, kita akan rugi. Hal ini kerana masa latihan itu sudah dibazirkan. Dengan menepati masa, kita sudah mematuh disiplin. Oleh itu, kita akan menjadi lebih berdisiplin apabila terlibat dengan kegiatan kokurikulum.

Tambahan pula, badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum. Kita boleh menjadi ahli kelab sukan seperti pasukan bola sepak dan pasukan bola tampar. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Sekurang-kurangnya latihan itu dijalankan tiga kali seminggu. Dengan latihan itu kita akan menjadi cergas. Kita akan mengeluarkan peluh. Badan kita akan menjadi sihat dan kuat. Kita tidak akan mudah sakit.

Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Ada yang berbangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Mereka boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama mereka.

Oleh itu, dengan kegiatan kokurikulum, perpaduan kaum dapat diwujudkan. Kesimpulannya, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.


♥ Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entry Wanie ! Like Kalau Suka ! ♥

No comments:

Post a Comment