KARANGAN - ISU PENDERAAN KANAK-KANAK


Penderaan kanak-kanak merupakan masalah yang semakin serius. Pada pendapat anda, apakah punca-punca berlakunya gejala ini? 

Masalah penderaan ke atas kanak-kanak kini dikatakan semakin serius berlaku di negara kita.Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya gejala ini? Apakah yang akan terjadi pada anak-anak yang terlibat dalam kes penderaan ini kelak jika gelaja ini berterusan?Hal ini telah menimbulkan kerisauan kepada pelbagai pihak.Justeru, apakah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya gejala ini?

Antara punca utama yang menyebabkan gejala penderaan kanak-kanak ini adalah berpunca daripada individu yang tidak dapat mengawal emosi mereka dengan baik. Hal ini tercetus apabila individu ini tidak dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dengan berkesan. Dengan ini, individu tersebut akan melepaskan perasaan geram dan kemarahan mereka dengan melakukan penderaan terhadap mereka yang lemah. Sebagai contoh, individu ini akan memukul anak-anak mereka sehingga menimbulkan kecederaan yang serius kepada mereka. Justeru, setiap individu perlu belajar mengawal emosi walaupun berdepan dengan tekanan yang hebat dalam kehidupan seharian, bak kata pepatah ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’.

Selain itu,setiap perkara yang berlaku mesti ada sebab musababnya. Begitulah juga dengan gejala penderaan kanak-kanak yang berpunca daripada institusi kekeluargaan yang lemah. Hal ini berlaku demikian kerana pada era globalisasi ini, ramai ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga mengundang tekanan dalam diri mereka. Sehubungan dengan itu, ibu bapa yang mengalami tekanan tidak akan dapat memberikan layanan serta kasih sayang yang sepatutnya diterima oleh anak-anak mereka. Tamsilnya, ibu bapa yang mengalami stres akan melepaskan tekanan dengan cara mendera anak-anak mereka. Rentetan hal ini, nilai kasih sayang haruslah disemai dalam setiap institusi kekeluargaan agar keluarga menjadi lebih harmoni dan sekaligus mencegah gejala penderaan terhadap anak-anak.

Di samping itu, kes penderaan kanak-kanak-kanak juga semakin berleluasa kerana masyarakat tidak cakna dan hanya mementingkan diri sahaja. Hal ini berlaku demikian kerana tiada jalinan perhubungan yang kukuh antara komuniti setempat. Dengan ini, kes penderaan terus berlaku tanpa apa-apa tindakan yang wajar untuk mencegahnya. Sebagai contoh, ketika berlakunya sesuatu kes penderaan di rumah jiran mereka, jiran tetangga hanya membiarkan perkara tersebut berlaku tanpa bertindak untuk mencegahnya seperti kata pepatah,‘Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.Oleh itu, masyarakat perlulah memainkan peranan yang aktif bagi menangani isu penderaan ini agar tidak berlarutan.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa penderaan kanak-kanak merupakan masalah yang serius di negara kita. Oleh yang demikian, kerajaan perlulah mengambil tindakan yang lebih efektif bagi membanteras gejala penderaan ini daripada terus berlaku. Sekiranya kerajaan mengambil tindakan sedemikian, sudah pasti gejala penderaan kanak-kanak ini dapat diatasi dengan berkesan. Jelaslah, kerjasama serta komitmen semua pihak amat penting dalam menangani isu yang serius ini dan tidak boleh menunding jari kepada satu pihak sahaja.
380 patah perkataan

♥ Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entry Wanie ! Like Kalau Suka ! ♥

No comments:

Post a Comment